Rajin-rajin ler klik...

Islamic Widget

Ulang Tahun Perkahwinan

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Disebaliknya tersembunyi hikmahNya

Ya Allah, bersamalah denganku di dalam menghadapi musibah ini. Semoga Kau menggantikan kesedihan ini dengan perkara yang lebih baik di dunia dan akhirat..." Amin ya rabbal alamin!

Tuhan tidak pernah menjanjikan bahwa langit itu selalu biru, Bunga selalu mekar, dan Mentari selalu bersinar...

Tapi ketahuilah bahwa Dia selalu memberi pelangi di setiap badai, Senyum di setiap air mata, Berkah di setiap cobaan, dan jawaban di setiap doa

Memaparkan catatan dengan label Bulan Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bulan Islam. Papar semua catatan

Selasa, 14 Januari 2014

SALAM MAULIDURRASUL

ALLAHUMMA SOLLI 'ALA SAIDINA MUHAMMAD


Jumaat, 18 Oktober 2013

AIDILADHA 2013/1434

Tahun ni beraya anak beranak kat rumah sendiri. 



Nak kerumah tok dan tokwan pun depa raya kat KL. 

Sambutan biasa2 jer...


Juadah pagi raya rendang ayam dan ketupat palas (tenpah kat M.cik Chik)

Lepas sembahyang raya sempat gak posing2 sikit.


Kemudian En. Tahiri dgn Aiman ke padang di belakang taman utk menyempurnakan ibadah korban.


Alhamdulillah selesai melaksanakan satu ibadah yang dituntut.

Petang kami balik kekampung En. Tahiri

Sabtu, 27 Oktober 2012

Aidiladha


Sambut AidilAdha di Jitra tahun ni sebab pagi raya pertama ada korban. 

Macam biasa2 sambutan AIdilAdha tidaklah sehappening sambutan Aidilfitri sedangkan dalam Islam AidlAdhalah sebenarnya dirayakan besar-besaran...namun kemeriahannya tetap terasa.

Pagi2 raya suami dan Aiman ke surau untuk solat sunat AidilAdha dan mendengar khutbah hariraya.

Kemudian dua2nya balik kerumah, salin baju sebelum bergegas ke padang untuk melaksanakan ibadah korban. 

Awal2 lagi saya minta suami bawa Aiman sama2 menyaksikan lembu korban disembelih since bahagian korban kali ni saya letakkan nama dia. 

Biarlah Aiman menyaksikan sendiri, dan menghayati erti pengorbanan yang sebenar. Mungkin dia tak berapa faham lagi tapi bila dibiasakan sampai masa nanti Aiman akan mengerti.

Hanya bertiga sebab masa ni Aiman dan abah ke padang 
Manakala Aiman dan abahnya ke padang saya ambil kesempatan kerumah mak. Beraya sekejap dengan mak dan adik2 sebelum pulang semula kerumah dan membahagi-bahagikan daging korban untuk disedekahkan kepada jiran tetangga.

Yang selebihnya, dimasak beramai2 dengan adik-beradik saya sebagai hidangan tengahari Jumaat AidilAdha kali ni. Menunya...Nasi Daging Dengan Air Asam...

Khamis, 25 Oktober 2012

Ahad, 19 Ogos 2012

Aidilfitri 2012

Salam Aidil fitri buat semua. 

Mohon maaf atas segala kekhilafan yang berlaku.

Semoga Syawal ini mengeratkan lagi ukhuwwah di antara kita...






















Isnin, 13 Ogos 2012

Jumaat, 10 Ogos 2012

Lailatul Qadar Ganjaran Amal Seribu Bulan

 
Lailatul Qadar 
 
Lailatulqadar adalah malam berlaku pada Ramadan, malam penuh keberkatan kerana Allah SWT mencucuri pelbagai rahmat, keampunan serta keberkatan kepada mereka yang beramal dengan khusyuk, penuh ikhlas.

Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. (Surah ad-Dukhan, ayat 3)

Firman-Nya lagi: Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam kemuliaan. (Surah al-Qadr, ayat 1)

Mereka yang beramal pada malam itu, Allah SWT berikan ganjaran kebaikan yang sama nilai dengan beramal seribu bulan. Firman Allah SWT: Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Surah al-Qadr, ayat 3)

Ada beberapa laporan menceritakan sebab Allah SWT menurunkan malam al-Qadar untuk Nabi Muhammad SAW. Menurut Imam Malik, Rasulullah SAW mendapati umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka.

 
Peluang umat beramal

Baginda SAW memohon kepada Allah SWT memberi peluang umatnya supaya dapat beramal sama nilainya dengan amalan umat sebelum mereka. Berdasarkan permohonan inilah Allah SWT menurunkan lailatulqadar.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat malam itu diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW kerana al-Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu, Allah SWT mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan Nabi-Nya bagi menyeru manusia kepada agama dan melepaskan mereka daripada segala kerosakan.

Pendapat ulama

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun.

Ertinya apabila tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, jadi tahun akan datang pada malam berbeza. Hal sama dikatakan Ibn Hazim, lailatulqadar ada kalanya malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Menurut jumhur ulama, malam lailatulqadar berlaku pada malam sama setiap Ramadan iaitu malam 27 Ramadan berdasarkan hadis Rasulullah SAW daripada Ubai bin Kaab yang dilaporkan Tirmizi dan hadis daripada Muawiyah yang dilaporkan Abu Daud, Saya mendengar Rasulullah berkata: Carilah lailatulqadar itu pada malam 27 Ramadan.

Namun, dalil paling kuat mengenai lailatulqadar ialah hadis daripada Aisyah yang dilaporkan Imam Bukhari, Carilah sedaya upaya kamu lailatulqadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan.

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah kenyataan tidak ada satu dalil jelas menunjukkan bila malam itu berlaku tetapi sepakat dengan hadis daripada Aisyah, ia berlaku pada malam ganjil akhir Ramadan.


Jumaat, 20 Julai 2012

RAMADHAN...

Hadirmu
Disambut dengan penuh riang-ria
Diraikan oleh mereka yang sentiasa
Mengucapkan syukur pada pencipta-NYA
Tanpa rasa duka dan sengsara

Hadirmu
Buat kami berlumba mengimarahkannya
Ganjaranmu berlipat kali ganda banyaknya
Menundukkan martabat seorang hamba
Mendekatkan diri pada pencipta-NYA

Hadirmu
Menjadi tetamu istimewa 
Membawa Rahmat KeampunanNya
Fadhilat yang melimpah ruah
Beruntunglah bagi yang memanfaatkannya

Ketibaanmu  
Mengingatkan 'status' kami sebagai hamba 
Tangisi dugaan dialami mereka
Menjadikan kami lebih bertaqwa
Mensyukuri nikmat pinjaman-NYA

Ketibaanmu
Mendidik kami menjadi pemurah
Yang Kaya menghulur dana
Yang Kuat membantu yang lemah
Tibamu sebagai madrasah tarbiyah

Pemergianmu
Ditangisi mereka yang benar bertaqwa
Disambut ria mereka yang alpa dan leka
Melupakan mereka bahawasanya
Ini Ramadhan terakhir untuk dirinya

Pemergianmu
Mengundang sendu dan hiba
Pada segenap rasa di jiwa
Sulaman rindu pasti ada
Untukmu Ramadan yang mulia


SALAM RAMADHAN 1433H.

Khamis, 7 Jun 2012

Doa Bulan Rejab

Dah masuk pertengahan Rejab, sedang hambaMu ini masih leka  dengan urusan duniawi. 

Berapa sangatlah masa yang ku jalani untuk memohon limpah rahmah dan maghfirahMu.

Ya Allah, janganlah sampai aku Kau masukkan ke dalam golongan orang-orang yang lalai (ghafilin)

Syaaban bakal datang, Ramadhan kan menyusul kemudian.
Ya Allah Ya Tuhanku...

Berikan kekuatan padaku untuk terus bermohon dan bermunajaat kepadaMu. 

Sesungguhnya hanya Engkaulah tempat yang sebaik-baiknya untuk aku memohon pertolongan.


Selasa, 30 Ogos 2011

Salam Aidilfitri 1432 Hijrah


Selamat hari raya . 
Mohon ampun dan maaf atas segala kesalahan. 
Halalkan segalanya...

Selasa, 16 Ogos 2011

NUZUL QUR'AN MERUBAH SIKAP MUSLIM

Muslim dan al-Quran

Sesungguhnya dengan turunnya al-Quran pada bulan Ramadan sejak lebih 1,400 tahun lalu, telah menyelamatkan manusia daripada melakukan tabiat serta tingkah laku yang tidak selari dengan fitrah mereka sendiri.

Ia menjadi inspirasi ke arah kebaikan kerana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat yang mampu merubah sikap manusia kepada sesuatu yang positif dalam hidup mereka.

Sayidina Omar bin al-Khattab yang dulunya dikenali sebagai seorang yang bengis dan amat membenci Rasulullah s.a.w. telah menemui jalan terbaik dalam hidupnya apabila dipertemukan dengan al-Quran yang akhirnya memeluk Islam.

Yang menariknya, Omar telah memeluk Islam hanya kerana membaca dan menatap beberapa potong ayat Quran daripada surah Taha dan setelah mengucap dua kalimah syahadah. Omar menjadi seorang Muslim yang amat komited dan yakin dengan Islam. Omar, setelah mengucap, terus mengisytiharkan keislamannya kepada seteru tradisi Rasulullah termasuk Abu Jahal.

Begitulah jauhnya perbezaan Omar dengan umat Islam pada akhir zaman ini. Tetapi yang peliknya, Omar dan umat akhir zaman juga mengharapkan untuk mendapat syurga dan rahmat pada hari pembalasan, sedangkan cara hidup dan keyakinan mereka amat berbeza.

Apa yang dimaksudkan dengan Nuzul al-Quran?

Nuzul yang diambil daripada perkataan bahasa Arab diertikan sebagai penurunan, sementara al-Quran pula merupakan kitab Allah yang diberikan kepada Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Jadi istilah Nuzul al-Quran boleh diertikan sebagai penurunan al-Quran ke atas baginda Rasulullah sebagai petunjuk kepada umat manusia sejagat.

Waktu turunnya al-Quran?

Allah menjelaskan dalam surah al-Qadr, bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang dikenali sebagai “Lailatul Qadr”, pokok daripada ajaran isi kandungan surah ini ialah al-Quran mula diturunkan pada malam tersebut yang nilainya lebih baik daripada 1,000 bulan, para Malaikat dan Jibril turun ke dunia pada malam tersebut untuk mengatur segala urusan.

Surah al-Qadr ini pula diturunkan di kota Makkah dan dihimpunkan dalam surah-surah Makkiyyah, iaitu surah yang diturunkan sebelum hijrah baginda Rasulullah s.a.w ke Madinah, isi pengajarannya ialah beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain.

Kenapa al-Quran diturunkan dan apakah fungsinya yang sebenar?

Dalil daripada al-Quran:

1- Ayat 15-16 surah al-Maidah : “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad) dari Allah dan kitab yang menerangkan (al-Quran). Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, (dan dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.”

2- Dalam ayat 9 surah al-Hadid : “Dialah (Allah) yang menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad) ayat-ayat yang terang (al-Quran) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (Islam).”

Jelas dari keterangan kedua-dua ayat di atas menunjukkan bahawa fungsi sebenar penurunan al-Quran ke atas manusia, tidak lain adalah untuk menyelamatkan mereka dari terus berada dalam kegelapan dunia yang terpaksa meraba-raba serta tanpa hala tuju hidup yang jelas dan sempurna kepada cahaya Islam, tidak cukup dengan itu, Allah SWT melalui kitabNya itu bertujuan untuk memimpin mereka ke jalan yang benar dengan memberikan kepada mereka petunjuk kebenaran agar mereka ditempatkan ke dalam syurga di akhirat kelak.

Dalil daripada hadis Nabi Muhammad s.a.w.: “Dari Ali Karramallahu Wajhahu, katanya: Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah Salallahu Alayhi Wasallam bersabda: "Sesungguhnya akan berlaku fitnah yan banyak." Aku pun bertanya: "Apakah jalan keluar darinya duhai Rasulullah?" Baginda menjawab: Kitabullah (al-Quran). Kerana di dalamnya terdapat kisah-kisah orang dan perkara sebelum kamu dan perkhabaran tentang apa yang akan datang sesudah kamu; dan terdapat di dalamnya hukum-hakam di antara kamu; Ia (al-Quran) adalah kata putus dan bukan senda gurau; sesiapa yang meninggalkannya (menolaknya) kerana sombong, ia akan dibinasakan oleh Allah; dan sesiapa sahaja yang mencari petunjuk selain darinya akan disesatkan oleh Allah; Ia adalah tali Allah yang teguh dan ia adalah pengajaran (peringatan) yang bijaksana. Ia adalah as-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus); Ia adalah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng dan terpesong; dan Ia adalah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak samar dan berputar-belit; dan para ulama pula tidak pernah puas menggali ilmu darinya (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan pernah hilang dan kandungannya menakjubkan, tidak berkesudahan. Ia adalah kitab yang jin tidak berhenti mendengarnya sehingga mereka berkata, "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, ia menunjuk ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." Sesiapa sahaja berkata dengannya, benarlah perkataannya; sesiapa yang beramal dengannya, dia akan diganjari pahala, sesiapa yang berhukum dengannya, adillah dia dan sesiapa yang menyeru kepadanya, nescaya dia akan diberi petunjuk Siratil Mustaqim (jalan yang lurus) - HR Tirmizi dan Darimi.

Keterangan maksud hadis mengenai fungsi al-Quran

Memang benar dan tepat sekali penjelasan baginda s.a.w. seperti dalam hadis di atas, bahawa pada akhir zaman akan berlaku terlalu banyak fitnah yang ditimpakan ke atas Islam dan Muslimin.

Sama ada fitnah itu dilakukan oleh mereka yang bukan Islam yang menaruh sifat benci amat mendalam serta dendam kesumat terhadap Islam dan umatnya, ataupun dilakukan sendiri oleh mereka yang bernama Islam.

Antara fitnah yang dilakukan oleh orang Islam sendiri seperti meninggalkan solat tanpa alasan atau sebab yang boleh diterima kerana menonton pertandingan bola sepak, pertandingan akhir mencari juara bintang popular dan sebagainya, tidak kurang juga golongan remaja muda dan tua yang tidak mengenakan kod berpakaian yang disyariatkan oleh Allah SWT, terlibat dalam pembunuhan, perjudian, rasuah, pecah amanah, penipuan dalam pilihan raya dan banyak lagi.

Kesemua yang disebutkan itu adalah fitnah yang menyukarkan golongan pendakwah untuk menyampaikan mesej Islam kepada bukan Islam tentang keindahan agama Islam kerana tindakan-tindakan liar itu menjadi batu penghalang kepada bukan Islam untuk menerima Islam, ataupun minat, cenderung atau simpati kepadanya.

Justeru, yang boleh menyelamatkan keadaan dan dari fitnah-fitnah tersebut adalah kitab suci al-Quran, kerana tujuan ia diturunkan seperti yang dijelaskan dalam ayat-ayat di atas adalah untuk meneylamatkan bangsa manusia serta mempimpin mereka ke jalan kebenaran.

Cara bagaimana al-Quran diturunkan

Menurut Imam as-Suyuti dalam kitabnya al-Itqan: Al-Quran diturunkan ke langit dunia pada malam al-Qadr secara sekali gus, kemudian diturunkan pula secara berperingkat selama dua puluh tahun, ada pendapat yang mengatakan dua puluh tiga tahun dan ada pula dua puluh lima tahun sejak Nabi Muhammad dilantik menjadi Nabi dan Rasul berdasarkan peristiwa dan keadaan tertentu yang hanya diketahui oleh Allah SWT pada tempoh tersebut.

Tetapi kenapa al-Quran diturunkan sekali gus ke langit dunia dan diturunkan tidak sekali gus malah berperingkat-peringkat ke atas baginda, perkara ini telah dijawab oleh Allah menerusi ayat 32 surah al-Furqan yang bermaksud: “Berkatalah orang-orang Kafir : Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepada (Muhammad) sekali turun sahaja? Demikianlah (dengan cara itu) supaya Kami perkuatkan hatinya dan Kami membacanya kelompok demi kelompok (secara ansur-ansuran).”

Surah pertama turun dalam al-Quran

Menurut Imam as-Suyuti, surah pertama turun secara keseluruhan isi kandungannya ialah surah al-Muddathir, sementara riwayat Imam at-Tabarani pula surah yang sempurna diturunkan ialah al-Fatihah dan ada pendapat yang mengatakan ialah surah al-Alaq yang diturunkan hanya lima ayat pertama. Walau bagaimanapun mengikut susunan para ulama: Surah al-Alaq yang pertama diturunkan secara mutlak mengikut pendapat jumhur. Surah al-Muddathir pertama diturunkan dalam konteks menyampaikan mesej dakwah. Surah al-Fatihah pula pertama diturunkan sebagai pembuka kepada surah-surah lain dalam al-Quran.

Ayat terakhir turun dalam al-Quran

Perkara ini juga diperselisihkan oleh beberapa pendapat ulama berdasarkan riwayat hadis tertentu:

Pendapat pertama: Ayat terakhir turun ialah ayat mengenai pengharaman riba daripada ayat 278 surah al-Baqarah: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu benar-benar orang-orang yang beriman.” ia diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ibnu Abbas.

Pendapat kedua: Ayat 281 surah al-Baqarah: “Dan peliharalah diri kamu dari (azab yang terjadi) pada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah.” Ia berdasarkan riwayat an-Nasaie daripada Ibnu Abbas dan Said Bin Jubair.

Pendapat ketiga: Ayat 282 surah al-Baqarah yang menceritakan tentang kesaksian dalam muamalat, iaitu ayat yang terpanjang dalam al-Quran. Ia berdasarkan riwayat Said Bin al-Musaiyab.

Pendapat keempat: Ayat 3 surah al-Maidah: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan Aku reda Islam itu menjadi agama bagi kamu.”

Perbezaan pendapat di atas berlaku adalah disebabkan riwayatnya tidak sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w, ia hanya terjenti setakat di kalangan para sahabat, maka masing-masing menyatakan keyakinan yang dipercayai yang tidak menjejaskan pegangan akidah mereka, walau bagaimanapun menurut para ulama, kecenderungan mereka kepada pendapat keempat berdasarkan apa yang dibacakan oleh baginda sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir untuk bertemu Tuhannya.

Apakah yang ada dalam al-Quran?

Sesungguhnya isi-isi kandungan meliputi pelbagai aspek yang diperlukan oleh manusia bagi mengurus kehidupan mereka dengan lebih sistematik. Dalam al-Quran terdapat ayat yang mengisahkan tentang cerita orang-orang terdahulu dan akan datang (pada hari kiamat) yang sepatutnya menjadi contoh teladan umat Islam hari ini, kerana ayat-ayat cukup sesuai sampai bila-bila, ini menunjukkan bahawa Allah SWT yang memiliki kitab suci tersebut bersifat Maha Sempurna dalam segenap tindak-tanduk-Nya.

Tidak kurang juga al-Quran memberi panduan untuk beramal ibadat seperti ayat-ayat wuduk, solat, perkahwinan, sistem kewangan, politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, alam sekitar, sains, kaji hayat, sejarah dan banyak lagi yang tidak dapat untuk disenaraikan satu persatu di sini.

Ia juga merakamkan ayat mengenai akidah, ibadat, hubungan manusia dengan Tuhannya, penganjuran supaya berakhlak mulia dan meninggalkan akhlak tercela, cerita tentang azab dan nikmat, syurga dan neraka dan lain-lain.

Apa yang penting, al-Quran bukanlah kitab kuno atau doktrin yang hanya sesuai di zaman unta semata-mata seperti yang didakwakan oleh sesetengah para ilmuan termasuk di kalangan orang Islam, malah ia lebih kepada kitab yang memberi pedoman dan panduan berguna menuju jalan keselamatan hidup di dunia dan akhirat dalam segenap bidang yang mereka perlukan.

Sikap Muslim terhadap al-Quran

Tidak semua di kalangan manusia yang bernama Islam memiliki cita-rasa yang sama terhadap al-Quran, perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah SWT menerusi ayat 32 surah Fatiir yang bermaksud: “Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yanag kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiayai diri mereka sendiri, ada di antara mereka yang bersederhana dan di antara mereka ada yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurniaan yang amat besar.” Sesungguhnya di kalangan hamba Allah yang diwariskan Allah al-Quran kepada mereka adalah yang bernama Islam (Muslimun), sedangkan Kristian, Sekular, Kapitalis, Sosialis, Komunis dan sebagainya adalah hamba Allah yang menolak kebenaran al-Quran secara mutlak.

Namun dalam ayat di atas terdapat tiga jenis manusia di kalangan hamba Allah yang Islam yang berbeza pendirian atau sikap mereka terhadap al-Quran:

1- Yang menganiayai diri mereka sendiri : Iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan, kerana mereka tidaka membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi untuk beramala dengan perintah Allah di dalamnya.

2- Adapun golongan yang bersederhana : Ialah golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala, mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia untuk melaksanakan isi-isi kandungannya yang terdiri daripada hukum-hakam Allah.

3- Sementara golongan yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan : Ialah golongan yang amat banyak kebaikan yang dilakukannya dan amat jarang berbuat kesalahan, mereka adalah golongan yang bersedia untuk melaksanakan hukum perintah Allah dalam al-Quran seperti hukum Hudud, Qisas dan Ta’zir, kerana hukum-hukum itu sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat manusia sepanjang masa.

Terserahlah kepada kita untuk meletakkan kedudukan diri di antara tiga jenis orang Islam seperti ayat di atas, apa yang jelas, al-Quran bukanlah kitab untuk dipertandingkan semata-mata, malah lebih daripada itu bagi mencapai maksud untuk mendapatkan cahaya keredaan Allah SWT.

Contoh ayat motivasi dalam al-Quran yang sepatutnya dikuasai

1- Sesungguhnya yang membaca al-Quran serta menyelidiki hikmah di dalamnya adalah mereka yang bernama Islam, kerana orang bernama Ah Chong atau Arumugam tidak sekali-kali membacanya melainkan mereka hendak mendekati Islam, tetapi yang menjadi tanda tanya di sini, mengapa Allah lontarkan persoalan kepada seorang Muslim yang membaca al-Quran seperti pertanyaan-Nya dalam ayat 101 surah Ali ‘Imran yang bermaksud : “Bagaimana kmu sampai menjadi kafir, pada hal ayat-ayat (al-Quran) dibacakan kepada kamu dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu?”

Ayat di atas menunjukkan kepada kita bagaimana terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan Rasulullah berada di sisinya, iaitu apabila menganjurkan Musabaqah Tilawah al-Quran, mengadakan majlis Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Israk Mikraj dan sebagainya, namun akhirnya tidak dapat menerima petunjuk Allah malah menjadi golongan yang menentang (kafir) kebenaran.

2- Menerusi ayat 10 surah Fatir bermaksud: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya, kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal solih dinaikkannya.”

Ayat di atas menggambarkan kepada bagaimana Allah SWT memberikan kemuliaan kepada kita sebagai manusia akan kemuliaan-Nya agar kita menjadi golongan yang mulia, ia menunjukkan bahawa dengan cara memberi atau mendengar perkataan dalam majlis ilmu, kuliah, ceramah atau forum agama seseorang itu akan dimuliakan Allah SWT.

Inilah satu pendekatan yang mampu untuk mengisi kekosongan jiwa manusia pada hari ini, namun manusia tetap angkuh disebabkan tidak berusaha untuk mendapatkan kemuliaan daripada Allah, mereka memilih jalan yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam neraka-Nya.

Tadarus al-Quran pada bulan Ramadan

Perkataan tadarus telah dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis (hadis yang ke-36 dalam hadis 40 susunan Imam an-Nawawi), daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. bersabda : “Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan bertadarus (berdiskusi isi kandungannya) di kalangan mereka, melainkan perhimpunan mereka itu diturunkan ketenangan daripada Allah, diliputi dengan rahmat-Nya, dikelilingi dengan para Malaikat dan Allah akan mengingati mereka yang ingat kepada-Nya.”

Menurut hadis di atas, baca disebut tilawah, sedangkan tadarus ialah berdiskusi segala isi kandungan al-Quran, sama ada dari sudut hukum-hakam ilmu tajwid, persoalan ilmu sains meliputi persoalan kejadian manusia, tumbuh-tumbuhan, ilmu alam, ilmu kaji hayat, cakrawala dan berbagai-bagai macam lagi yang perlu diterokai, ayat-ayat syurga dan neraka, ayat-ayat mengenai tentang dosa dan pahala, ayat-ayat motivasi (tazkirah) dan sebagainya yang tidak dapat dihitung dengan sepuluh jari, ia bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Apa yang penting, Ramadan tahun ini menjadikan kita umat yang suka bertadarus (berdiskusi, mengkaji) isi-isi kandungan al-Quran termasuklah memperelok sebutan huruf-huruf al-Quran dengan memperdalami hukum-hukum ilmu tajwid, supaya Ramadan kali ini benar-benar meninggalkan seribu kenangan berbanding tahun-tahun sebelum ini, sekali gus merubah keadaan diri kita kepada suka membaca, mengkaji serta beramal dengan al-Quran, mudah-mudahan dengan cara itu kita menjadi graduan Ramadan cemerlang pada kali ini, Amin.

Rujukan

1- Kaifa Nahya Bil Quran – Nabih Zakariya Abd’ Rabbih – Dar al-Haramain, Mesir – 1983.
2- Kaifa Nataddab Maal Mashaf – Muhammad Rejab Farjani –Dar al-‘Itisom, Mesir 1976.
3- www.islamonline.net
4- www.islamweb.net 5- www.islam-qa.com

Sabtu, 30 Julai 2011

SALAM RAMADHAN




Assalamu'alaikum

Setahun telah berlalu, kini Ramadhan tiba lagi. Ramadhan, yang sinonim dengan ibadah puasa pada siangnya, solat tarawikh tika malam dan bertadarus al-Qur'an sepanjang bulan. Indahnya berada dalam bulan maghfirah dan rahmah ini.

Tahun lepas, Ramadhan saya lalui dengan keadaan kesihatan yang agak terbatas kerana sarat mengandungkan Nuha. Alhamdulillah, tahun ini situasinya lebih baik. Nuha pun dah semakin besar. Ramadhan ini genap usianya 1 tahun mengikut kalendar Hijri.

Syukur kerana Ramadhan semakin hampir dan terlalu dekat untuk disambut. Penghujung Ramadhan yang lalu doa saya panjatkan, agar Allah memberikan saya peluang lagi bertemu dengan Ramadhan kerana saya mahu berlumba mengejar ma’rifat. Dan syukur kerana saya berpeluang melaluinya sekali lagi.

Diriwayatkan bahawa apabila tibanya bulan Rejab, maka Rasulullah akan berdoa ‘Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan’ (Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi). Allahumma Ballighna Ramadhan, doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah s.a.w apabila mendekati bulan yang mulia ini.


Para sahabat yang bersama dengan Rasulullah s.a.w dididik dengan tema yang agung ini; Allahumma Ballighna Ramadhan. Sebab itu, para sahabat menyambut dan menanti Ramadhan dengan penuh kerinduan dan kecintaan. 

Katanya, doa tersebut ada yang dibacakan enam bulan sebelum Ramadhan mengharap agar bertemu dengannya. Kemudiannya, enam bulan selepas Ramadhan pula disi dengan tangisan kerana berlalunya Ramadhan.

Beberapa tips dan panduan yang boleh kita kongsikan bersama dalam hal membuat persiapan ini. (Sumber : Selatan Online) 

1. Menjadikan bulan Ramadhan sebagai Syahrut Tarbiyah, Da’wah. 

Bulan Ramadhan harus dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para da’ie dan pejuang Islam untuk melakukan dakwah dan tarbiyah. Terus melakukan gerakan reformasi (harakatul ishlah). Membuka pintu-pintu hidayah dan menebar kasih sayang bagi sesama manusia.
 
Sebagai bulan yang penuh dengan keberkatan ini maka ia perlu diisi dengan aktiviti yng berfaedah untuk diri sendiri dan ummah.
 
2. Persiapan Mental
 
Persiapan mental untuk puasa dan ibadah terkait lainnya sangat penting. Apalagi pada saat menjelang hari-hari terakhir, kerana tarikan keluarga yang ingin belanja mempersiapkan hari raya dan pulang kampung, sangat mempengaruhi umat Islam dalam menunaikan kekhusyukan ibadah Ramadhan.

Kejayaan ibadah Ramadhan seorang muslim dilihat bukannya daripada permulaan Ramadhan tetapi dilihat pada penghujungnya.
 
3. Persiapan ruhiyah (spiritual)
 
Persiapan ruhiyah dapat dilakukan dengan memperbanyak ibadah, seperti memperbanyak membaca Al-Qur’an saum sunnah, dzikir, doa dll. 

Dalam hal mempersiapkan ruhiyah, Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam mencontohkan kepada umatnya dengan memperbanyak puasa di bulan Sya’ban, sebagaimana yang diriwayatkan ‘Aisyah ra. berkata:” Saya tidak melihat Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam menyempurnakan puasanya, kecuali di bulan Ramadhan. Dan saya tidak melihat dalam satu bulan yang lebih banyak puasanya kecuali pada bulan Sya’ban” (HR Muslim).
 
4. Persiapan fikriyah
 
Persiapan fikriyah atau akal dilakukan dengan mendalami ilmu, khususnya ilmu yang terkait dengan ibadah Ramadhan. Banyak orang yang berpuasa tidak menghasilan kecuali lapar dan dahaga. 

Hal ini dilakukan kerana puasanya tidak dilandasi dengan ilmu yang cukup. Seorang yang beramal tanpa ilmu, maka tidak menghasilkan kecuali kesia-siaan belaka.
 
Persiapan Fizikal dan Harta Seorang muslim tidak akan mampu atau berbuat secara optimum dalam berpuasa jika fizikalnya sakit. Oleh kerana itu mereka dituntut untuk menjaga kesihatan fizikal, kebersihan rumah, masjid dan lingkungan
 
5. Merencanakan Peningkatan Prestasi Ibadah (Syahrul Ibadah)
 
Ibadah Ramadhan dari tahun ke tahun harus meningkat. Tahun depan harus lebih baik dari tahun ini, dan tahun ini harus lebih baik dari tahun lalu. 

Ibadah Ramadhan yang kita lakukan harus dapat merubah dan memberikan output yang positif kepada peningkatan diri dan jemaah serta masyarakat.
 
6. Menjadikan Ramadhan sebagai Syahrut Taubah (Bulan Taubat)
 
Bulan Ramadhan adalah bulan di mana syaitan dibelenggu, hawa nafsu dikendalikan dengan puasa, pintu neraka ditutup dan pintu surga dibuka. Sehingga bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat kondusif untuk bertaubat dan memulai hidup baru dengan langkah baru yang lebih Islamik. 

Taubat bererti meninggalkan kemaksiatan, dosa dan kesalahan serta kembali kepada kebenaran. Atau kembalinya hamba kepada Allah SWT, meninggalkan jalan orang yang dimurkai dan jalan orang yang sesat.
 
Taubat bukan hanya terkait dengan meninggalkan kemaksiatan, tetapi juga terkait dengan pelaksanaan perintah Allah. Orang yang bertaubat masuk kelompok yang beruntung. 
Allah SWT. berfirman:“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung” (QS An-Nuur 31).
 
Oleh kerana itu, di bulan bulan Ramadhan orang-orang beriman harus memperbanyak istighfar dan taubat kepada Allah SWT. Mengakui kesalahan dan meminta ma’af kepada sesama manusia yang dizhaliminya serta mengembalikan hak-hak mereka. Taubah dan istighfar menjadi syarat utama untuk mendapat maghfiroh (ampunan), rahmat dan kurnia Allah SWT.
 
7. Menjadikan Ramadhan sebagai Syahrul Muhasabah (Bulan Evaluasi)
 
Semua ibadah Ramadhan yang telah dilakukan tidak boleh lepas dari muhasabah atau penilaian. Kita bukan hanya perlu menyediakan Key Performance Indicator (KPI) kepada kerjaya kita sahaja tetapi juga perlu ada KPI kepada ibadah kita dalam bulan Ramadhan. 

Muhasabah terhadap langkah-langkah yang telah kita perbuat dengan senantiasa menajamkan mata hati (bashirah). 

Semoga kita benar-benar dapat meraikan Ramadhan ini seperti mana yang dituntut oleh Islam bukannya yang dituntut oleh nafsu kita. 

Semoga Ramadhan pada kali ini akan memberikan kita kekuatan untuk membina jati diri kita sebagai seorang muslim yang beriman dan melaksanakan tanggungjawab kita untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. 

Semoga Ramadhan kita lalui dengan penuh keinsafan kerana belum pasti kita bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang.

"AHLAN WA SAHLAN WA MARHABAN BIKA YA RAMADHAN"

Khamis, 30 Jun 2011

Memperingati Kehadiran Israq dan Mikraj

selatanonline
 
 
Sempena bulan Rejab yang banyak keberkatannya ini, ruangan Sudut Agama menyorot peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah. Penerangan yang diberikan adalah bersifat sepintas lalu, dan dicadangkan agar anda merujuk kepada ahli agama yang benar dan bertauliah seperti ustaz atau guru yang berkenaan bagi mendapatkan fakta dan huraian selanjutnya.

Ringkasan Peristiwa Israk Dan Mikraj
Sebelum Israk dan Mikraj
Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibril dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.
Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibril supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibril : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibril : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibril memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibril : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibril: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibril: Itulah orang yang makan riba`.

§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibril: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibril: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibril: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibril: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibril: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibril: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibril dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibril naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibril masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH 
 
Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". 
 
Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).

Ahad, 20 September 2009

Satu Hari Di Hari Raya...

Selamat, Selamat, Selamat Hari Raya. Syawal 1430H disambut sederhana.

Hari Raya Pertama kami tak kemana-mana. Cuma berlegar disekitar kg suami saja. Selebihnya banyak dirumah mentua melayani tetamu yang datang.Tambahan pula keadaan kesihatan ibu mentua agak terganggu akhir-akhir ini.

Tapi meriah juga kerana tahun ini ramai ipar duai yang turut pulang berhari raya di kampung.

Yang penting anak-anak dapat melalui suasana hari raya dengan gembira. Aiman & Deena awal-awal pagi lagi dah bangun. Tempias seronok nak beraya. Puas menggeletar badan disiram kesejukan air bukit pagi2 buta. Tapi sebab zouq beraya, sejuk pun tak apa.

Seronok tengok dua-dua beradik memakai baju raya, Aiman dengan kurung johor, Deena dengan baju kurung pesak. Comel... Dah siap pakai baju boleh la round kampung kutip duit raya...

Khamis, 17 September 2009

Salam Aidilfitri 2009


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Dalam kelembutan lidah
Ada juga keterlanjuran kata
Dalam gurau dan senda
Tentu ada khilaf dan dosa

Sempena Syawal yang mulia ini jari sepuluh disusun memohon jutaan ampun dan maaf di atas segalanya...

Salam lebaran dari,

Tahiri, Shikin, Aiman & Deena

Ahad, 13 September 2009

Ramadhan Kali Ini...

Terasa cepat masa berlalu. Sedar tak sedar Ramadhan semakin menghampiri ke penghujungnya. Tak lama lagi Syawal bakal tiba. Mudah-mudahan ini bukan Ramadhan yang terakhir buat kita.

Sebenarnya banyak perkara yang berlaku sepanjang Ramadhan tahun ini, tapi kekangan masa menyebabkan tak tertulis pula saya di dalam ruangan blog ini.

Apapun, Ramadhan tahun ini adalah yang terindah kerana tahun ini saya betul-betul dapat melaksanakan ibadah puasa dengan suami tercinta. Itupun setelah masuk tahun kelima perkahwinan kami. Kenapa???

Bukan bermaksud tahun2 sebelum ni tak berpuasa bersama, cuma tak sepanjang bulan. Iyelah, tahun pertama saya di kampung, dalam pantang selepas melahirkan Aiman. Tahun2 seterusnya pula suami sibuk diperantauan menimba ilmu pengetahuan. Dekat2 nak raya baru pulang berpuasa bersama.

Tapi tahun ini sangat bermakna kerana suami sentiasa berada bersama. Berbuka puasa, bertarawikh, bertadarrus... Indahnya Ramadhan tahun ini.

Moga tahun-tahun akan datang, Ramadhan akan lebih bermakna...

Selasa, 25 Ogos 2009

Hari Ke-4 Ramadhan

Hari ke-4 Ramadhan.

Alhamdulillah, sudah 4 hari Ramadhan berlalu. 

Penuh dengan nikmat, penuh dengan barakah. Dan cuaca juga seakan-akan memahami. 4 hari bumi disirami hujan. Nyaman...melegakan. Walaupun berpuasa tapi tak terasa. Urusan kehidupan menjadi mudah. Puasa bukan alasan untuk membatas aktiviti seharian... 

Rasa terpanggil untuk meng'copy paste'kan artikel yang saya baca dari sebuah blog

Marah dengan Habib Bourguiba.

Beliau adalah Presiden Tunisia yang pertama, memerintah dari tahun 1957 hingga 1987. Bourguiba selalu disinonimkan dengan Mustafa Kemal Ataturk kerana keghairahannya kepada pembaratan yang disamakan dengan pemodenan.

Isunya ialah pada tahun 1961. Habib Bourguiba telah mengeluarkan arahan tidak membenarkan penjawat awam di negaranya, Tunisia , berpuasa di bulan Ramadhan. Bagi menegaskan arahan itu, beliau dan anggota kabinetnya telah muncul secara langsung di kaca televisyen pada tengah hari bulan Ramadhan dan mereka makan beramai-ramai.

Alasan Habib Bourguiba senang sahaja, berpuasa mengurangkan produktiviti negara!

Rabu, 19 Ogos 2009

Ramadhan is coming & somebody is leaving...




Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dari Salman Radhiallahu 'anhu, katanya:

Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam berkhutbah di hadapan kami pada hari terakhir daripada bulan Sya'ban.

Beliau bersabda: "Wahai manusia, sesungguhnya kamu dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi panuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasaNya suatu fardhu dan qiyam di malam harinya suatu tatawwu'(sunat) . Barangsiapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardhu di bulan yang lain. Dan barangsiapa yang menunaikan suatu fardhu di dalam bulan Ramadhan maka samalah dia dengan orang yang mengerjakan 70 fardhu di bulan yang lain. Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedang sabar itu pahalanya adalah syurga. Ramadhan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah memberi rezeki kepada para mukmin di dalamnya. Barangsiapa memberi makanan berbuka di dalamnya kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dia dari neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa itu, tanpa dikurangkan sedikitpun."


Para Sahabat berkata:

"Ya Rasulullah, tidaklah kami semua memiliki makanan berbuka puasa itu untuk orang yang berpuasa?!".

Maka bersabda Nabi Sallallahu 'alaihi Wasallam: "Allah memberikan pahala itu kepada orang yang memberikan sebutir kurma, atau seteguk air, atau sehirup susu. Dialah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan pengakhirannya merdeka dari api neraka. Barangsiapa meringankan beban daripada hamba sahaya (pembantu-pembantu rumah), nescaya Allah akan mengampuni dosanya dan memerdekakannya daripada api neraka. Oleh itu perbanyakkanlah empat perkara di dalam bulan Ramadhan. Dua perkara untuk menyenangkan Tuhanmu dan dua perkara lagi untuk kamu sangat menghajatinya. Dua perkara yang kamu lakukan untuk menyenangkan Allah ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan memohon keampunan kepadaNya. Dua perkara lagi yang kamu sangat memerlukannya ialah memohon syurga dan berlindung daripada neraka. Barangsiapa yang memberi minum kepada orang yang berpuasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolam itu dengan suatu minuman yang dia tiada merasakan dahaga lagi sesudahnya, sehingga dia masuk ke dalam syurga"

(At-Targhib, jld.II, 217-218)





Tinta Qaseh : Tinggal beberapa hari lagi untuk kita bertemu dengan bulan yang mulia ini. Moga kita diberi kekuatan olehNya untuk terus istiqamah melakukan amal ibadah. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman... Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Dengan Nama Allah

Kenangan Di Perlis

Nur Ilahi