Salam blogger...
1 minggu yang suram...
Hari ini genap 7 hari mak (mentua) meninggalkan kami sekeluarga. Sebenarnya penghujung Ramadhan lagi mak mula berubah tingkah. Asyik mengantuk, tidur sepanjang masa. Kami ingatkan dia keletihan kerana berpuasa.Tambahan pula mak adalah penghidap kencing manis dan darah tinggi. Mungkin kekurangan pengambilan gula sepanjang berpuasa menyebabkan dia kehilangan tenaga.
Ada juga cakap-cakap mengatakan mak terkena sampuk, ada benda yang menumpang. Puas juga di bawa berubat tapi keadaannya tak banyak berubah. Mak jadi pendiam, murung... Berbeza dengan sikapnya yang sebenar. Mak biasanya tak reti duduk diam. Ada saja kerja yang nak dibuatnya. Dalam usia melangkaui 70 tahun, mak masih gigih melakukan kerja disekeliling rumah. Kadang-kadang saya tertanya-tanya "Tak tau penat ke orang tua ni?". Itulah mak, orangnya kecil saja. Tapi kudratnya...
Petang Jumaat penghujung Syawal, telefon bimbit suami berdering. Kedengaran sayup-sayup suara pemanggil diseberang. "Siapa bang?" tanya saya selepas suami mematikan talian. Abang Lah, jawab suami saya. "Awat?", tanya saya lagi. "Abang Lah habaq mak tak sedaq. Nak minum pun tak boleh. Siang tadi elok aja pun." jawab suami saya. "Abang nak balik ka? Malam ni? Ke balik esok pagi?" "Abang ingat nak balik malam ni." "Ish..lewat kot bang balik malam. Balik esokla..." "Tak pe la, kita balik malam ni. Rasa tak sedap hati.." jawab suami saya.
Hampir jam sebelas malam baru kami sampai ke kampung. Rumah mak dipenuhi jiran tetangga. Begitulah suasana desa, semangat kejiranan masih terasa. Mak terbaring lesu, tidak mampu lagi berkata-berkata.
Semua adik-beradik suami bergegas pulang apabila disampaikan khabar tentang mak. Kak Imah dari Taiping, kak Ani dari Sg. Petani dan Abang Usin dari Klang sampai keesokan hari. Tangisan mak kedengaran apabila menatap wajah seorang demi seorang anak-anaknya. Tapi lidah mak kelu tak mampu untuk berbicara.
Kami sekeluarga tak mampu untuk berbuat apa-apa. Nak dibawa kehospital, kebanyakan ahli keluarga tidak bersetuju. Jadi mak hanya terbaring dirumah. Jiran tetangga berduyun-duyun datang berziarah.
Pagi Ahad kami pulang kerumah. Saya dan suami perlu bekerja. Aiman pula perlu ke sekolah. Saya menghampiri mak dan membisikkan ketelinganya bahawa kami akan pulang. Saya juga bisikkan bahawa kami akan pulang semula pada hari Khamis. Mak hanya mengangguk sedikit.
Disebalik ketenangan suami, saya dapat merasakan pergolakkan jiwanya menyaksikan insan yang paling dikasihi, insan yang yang paling banyak berbudi, insan yang bertarung nyawa melahirkannya kedunia dalam keadaan sebegitu rupa. Namun masih ada tuntutan lain yang perlu dilaksanakan.
Khamis, 22 Oktober jam 6 petang suami menelefon dari sekolah."Siap barang, kita balik malam ni juga" "Awat bang?" tanya saya."Keadaan mak nampak lain..." Saya faham dan terus mengemas. Lepas maghrib baru kami dapat bertolak pulang ke kampung. Hampir jam 10 kami tiba. Rumah mak dipenuhi saudara mara dan jiran tetangga. Mak nazak. Saya dan suami berwudhuk dan membacakan surah Yasin untuk mak. Seusai surah Yasin dibaca mak menarik nafas panjang. Mak sedang sakarat... Suami tak henti-henti membisikkan syahadah ditelinga mak. Ya Allah...permudahkanlah...
Akhirnya mak pergi jua... Saya lihat suami, dalam kepayahan menahan emosi. Matanya berkaca. Saya mengerti getar tubuhnya... betapa dia kehilangan insan yang paling dikasihi. Wanita yang pertama dalam hidupnya, wanita yang telah lama bertahta dalam hatinya.Dan saya turut berkongsi rasa...
Janji Allah itu pasti, dan kita sebagai hamba perlu bersedia menghadapi...
Disebaliknya tersembunyi hikmahNya
Ya Allah, bersamalah denganku di dalam menghadapi musibah ini. Semoga Kau menggantikan kesedihan ini dengan perkara yang lebih baik di dunia dan akhirat..." Amin ya rabbal alamin!
Tuhan tidak pernah menjanjikan bahwa langit itu selalu biru, Bunga selalu mekar, dan Mentari selalu bersinar...
Tapi ketahuilah bahwa Dia selalu memberi pelangi di setiap badai, Senyum di setiap air mata, Berkah di setiap cobaan, dan jawaban di setiap doa
Tuhan tidak pernah menjanjikan bahwa langit itu selalu biru, Bunga selalu mekar, dan Mentari selalu bersinar...
Tapi ketahuilah bahwa Dia selalu memberi pelangi di setiap badai, Senyum di setiap air mata, Berkah di setiap cobaan, dan jawaban di setiap doa
Khamis, 29 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan