
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Hari ni 16 Mei, Sambutan Hari Guru dirayakan diseluruh negara. Begitulah saban tahun, apabila sampainya tanggal 16 Mei guru-guru diraikan. Bercerita tentang sambutan Hari Guru, saya terkenangkan sambutan Hari Guru semasa saya mengajar disekolah. sambutannya lebih meriah kerana kita dikelilingi oleh pelajar-pelajar. Berbeza di matrikulasi, sambutan Hari guru tanpa kehadiran pelajar kerana penghujung bulan Mei barulah pelajar akan mendaftar. Siapalah guru tanpa kehadiran mereka...
Buat diri ini, suami tersayang, rakan-rakan seperjuangan serta semua guru di seluruh negara hayatilah puisi dibawah. Semoga kita bisa memartabatkan profesion perguruan ke tempat yang sepatutnya.
Guru Oh Guru
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi..
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa
Dialah Ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan menjadi hikmat
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulamak yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di ibukota
Di bangunan tua sekolah hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara
Jadilah apapun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat ‘cikgu’ kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
-Petikan puisi Allahyarham Dato' Dr. Usman Awang (1979)- Sasterawan Negara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan