Hari ini aku sendirian lagi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu. Suamiku sudah kembali ke Kuala Lumpur, meneruskan praktikumnya yang masih berbaki lagi 3 minggu di Manjalara. Semalam aku menghantarnya ke stesyen bas ditemani putera sulungku Aiman. Ketika mengemaskan barang-barangnya yang hendak dibawa pulang ke Kuala Lumpur sempat kukatakan kepada suamiku, "3 minggu lagi ja bang, lepas tu kita berkumpul sebagai satu keluarga semula. Lega rasanya. " Suamiku cuma tersenyum, mengiakan.
Memang, 3 tahun kami tinggal berasingan, kerana suamiku memenuhi tuntutan fardhu ainnya. Melengkapkan diri dengan ilmu penuh didada sebagai bekal untuk mendidik anak bangsa. Dan sepanjang tempoh itu kami cuma berjumpa dihujung minggu. Puas juga suamiku berulang-alik setiap minggu merentasi sempadan negeri. Tapi demi keluarga dia gagahi. Kesian bila memikirkan anak-anak yang sering berjauhan dengan abah mereka. Tapi Alhamdulillah, anak-anakku tak banyak kerenah bila abahnya tak ada, cuma kadang-kadang ada jugalah sikap mereka yang mencabar kesabaranku. Biasalah...namanya pun budak.
Mujur juga aku tinggal berdekatan dengan orang tuaku. Dengan tokwan dan toknya lah anak-anakku menumpang kasih, dan bermanja bila abahnya pulang ke Kuala Lumpur . Aku pula keluar ke tempat kerja awal pagi dan pulang petang hari. Malam baru kami dapat bersama. Terasa juga betapa terbatasnya perhatian yang kuberi kepada mereka berdua. Sebab tu lah, bila berada dirumah aku seboleh-bolehnya melayan kehendak kedua-duanya. Walaupun kadang-kadang aku menyinga dengan tingkah laku mereka.
Teringat masa suamiku mula-mula mendapat tawaran PKPG. Ketika itu kami masih berkhidmat di daerah Kudat, Sabah. Suamiku perlu melaporkan diri penghujung Jun 2006. Memikirkan aku jauh diperantauan, dengan Aiman yang belumpun berusia setahun ketika itu, ku minta bantuan abah dan mak untuk menemani. Abah dah bersara masa tu, jadi tiada masalah untuk abah dan mak tinggal bersama-samaku di Kudat. Cuma Nisah, adikku yang bongsu terpaksa bertukar sekolah, dan ambil UPSR disana.
Harapkan hujung tahun aku dapat tukar. Tapi permohonan pertukaranku gagal. Kami cuba membuat rayuan di Putrajaya, tapi nasib masih tidak menyebelahi. Penggal pertama persekolahan tahun 2007, aku kembali ke Kudat untuk meneruskan tugas. Kali ini tanpa ditemani abah dan mak. Cuma suamiku yang menghantar. Selepas seminggu, suamiku pulang untuk meneruskan pengajiannya di Semenanjung. Luruh juga airmataku ketika melihat suamiku hilang dibawa kereta sewa menuju ke Kota Kinabalu. Betapa gundahnya jiwaku saat itu mengingatkan aku bersama anak yang baru berusia setahun ditempat orang tanpa suami disisi. Apalagi yang mampu aku lakukan. Pasrah...!
Pun begitu suamiku tidak berdiam diri, di Semenanjung suamiku berusaha menguruskan hal pertukaranku. Alhamdulillah usahanya tidak sia-sia. Pertengahan Februari 2007 kuterima surat pertukaran, bukan satu bahkan dua. Satu bertukar ke SMKA Slim River, dan satu lagi ke Kolej Matrikulasi. Susah juga nak buat pilihan. Tapi suamiku menyuruh aku memilih Kolej Matrik, kerana berdekatan dengan tempat tinggal ibubapaku. Juga persediaan untuk suamiku posting semula nanti. "Mudah sikit nak balik kampung.'' Kata suamiku.
Aku akur. Akhirnya kupilih Matrikulasi. Sudah lebih dua tahun aku disini. Pengajian suamiku pula hampir tamat. InsyaAllah awal Julai nanti dia akan berkhidmat kembali. Penempatan semula suamiku pula cuma jarak 5 kilometer sahaja dari tempat tinggal kami. Tersenyum lebar suamiku ketika mendapat surat posting hari tu. Gembira ! Bahagia! Ya Allah! Sesungguhnya tidak ada kemudahan kecuali sesuatu yang Engkau permudahkan. Dan Engkau menjadikan kedukaan itu mudah sekiranya Engkau kehendaki." Ameen.
Alhamdulillah...
Disebaliknya tersembunyi hikmahNya
Ya Allah, bersamalah denganku di dalam menghadapi musibah ini. Semoga Kau menggantikan kesedihan ini dengan perkara yang lebih baik di dunia dan akhirat..." Amin ya rabbal alamin!
Tuhan tidak pernah menjanjikan bahwa langit itu selalu biru, Bunga selalu mekar, dan Mentari selalu bersinar...
Tapi ketahuilah bahwa Dia selalu memberi pelangi di setiap badai, Senyum di setiap air mata, Berkah di setiap cobaan, dan jawaban di setiap doa
Tuhan tidak pernah menjanjikan bahwa langit itu selalu biru, Bunga selalu mekar, dan Mentari selalu bersinar...
Tapi ketahuilah bahwa Dia selalu memberi pelangi di setiap badai, Senyum di setiap air mata, Berkah di setiap cobaan, dan jawaban di setiap doa
Isnin, 15 Jun 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan